Maklumat Ringkas Getah
Nama saintifik bagi getah ialah Hevea Brasiliensis. Ia merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup dikawasan 1000 km utara dengan 1000 km selatan khatulistiwa. Pokok getah memerlukan hujan sebanyak 180 sm - 250 sm setahun. Ia juga memerlukan suhu diantara 25 - 30 darjah Celcius.
Ketinggian tanah dari paras muka laut yang boleh ditanam dengan getah ialah 500 meter. Semakin tinggi getah ditanam semakin berkurangan perolehan hasil dan kecergasan pertumbuhannya. Keperluan tanah yang sesuai untuk tanam getah ialah jenis lom yang mempunyai saliran yang bebas, tidak masin, tidak masam atau sentiasa banjir.
Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut.
Pokok getah mampu mencapai ketinggian melebihi 18 meter. Lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang membentuk 30 darjah pada ufuk.
Apabila pokok getah mencapai usia 5-6 tahun, penorehan boleh dilakukan: goresan-goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks, dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks.
Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazonia. Peningkatan permintaan dan jumpaan proses pemvulkanan pada tahun1839 mendorong perkembangan yang pesat di kawasan tersebut, mengayakan bandar Manaus dan Belem. Nama pokok ini diambil daripada Para, negeri Brazil yang termasuk Belem.
Terdapat juga cubaan dilakukan pada 1873 untuk menanam getah di luar Brazil. Selepas berusaha, dua belas tunas tumbuh di Kebun Bunga Botani Diraja Kew. Pokok-pokok itu kemudian dihantar ke India untuk ditanam tetapi gagal. Percubaan kedua dilakukan dengan sekitar 70,000 benih dihantar ke Kew pada tahun 1875. Sekitar 4% daripada benih-benih itu bertunas, dan pada tahun 1876, sekitar 2,000 anak pokok dihantar, dalam kes Wardian, ke Sri Lanka, dan 22 dihantar ke Kebun Bunga Botani di Singapura. Apabila berjaya ditumbuh di luar negeri asal, Pokok Getah ditanam secara meluas di tanah-tanah jajahan British. Pada tahun 1898, ladang getah ditubuhkan di Tanah Melayu, dan kini kebanyakan ladang getah terdapat di Asia Tenggara dan sesetengah Afrika tropika. Percubaan untuk menanam Pokok Getah di Amerika Selatan ternyata tidak memuaskan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar